Wednesday, 7 October 2015

Ditentukan? Atau Nasib?

Assalamualaikum.


Cuba bayangkan wujudnya satu alat yang boleh mengukur dengan tepat apa sahaja dalam dunia ni. Berat, jarak, kelajuan, tempoh, pecutan, saiz, isipadu apa sahaja. Adakah boleh kita meramal masa depan? Atau mengetahui secara tepat sejarah yang lampau?


Fizik yang dikemukakan oleh Newton mengatakan ya, boleh. Sebagai contoh, sebiji batu dilontarkan ke udara. Andai kita tahu beberapa ukuran fizikal seperti kelajuan asal batu dan arah dilontarkan, dengan mudah kita boleh meramalkan dengan tepat di mana dan bila batu tersebut akan jatuh.


Sebaliknya pula sekiranya kita mengetahui ukuran-ukuran tadi ketika batu tersebut jatuh, kita boleh mengetahui dengan tepat bila dan dari mana batu tersebut dilontarkan. Dengan mengetahui beberapa ukuran fizikal pada batu tersebut kita boleh meramal masa depan dan mengetahui sejarah batu teresebut dengan tepat.


Dasarnya. konsep yang dikemukakan Newton ini mengatakan bahawa alam ini adalah bersifat tetap dan tidak akan berubah sama sekali. Kesemua maklumat yang terkandung dalam alam pada saat ini akan menentukan apa yang bakal berlaku pada saat yang terkemudian. Inilah konsep yang dipanggil fizik klasik dan ianya masih digunakan sehingga ke hari ini.


Pun begitu, fizik moden mempunyai landskap yang begitu jauh berbeza. Menurut fizik kuantum, kebarangkalian wujud dalam semua perkara. Lebih-lebih lagi bagi skala yang kecil. Tiada apa yang tetap di alam ini, hanya kebarangkalian.


Sebagai contoh, katakanlah kita tahu bahawa sebiji elektron berada di dalam sebuah kotak. Sebarang ukuran yang tepat berkenaan elektron tersebut hanya akan menyebabkan ukuran lain menjadi tidak berguna. Sekiranya kita dapat megukur dengan tepat posisi elektron tersebut maka kita tidak akan dapat mengukur kelajuan elektron tersebut.


Begitu juga sebaliknya, apabila kelajuan elektron tersebut diukur secara tepat, maka kita tidak akan dapat mengukur di manakah elektron teresebut wujud. Tanpa salah satu dari keduanya, adalah mustahil untuk meramalkan dimanakah elektron tersebut akan wujud di masa akan datang.


Oleh itu satu-satunya cara untuk mengukur kedua-duanya adalah dengan menggunakan kebarangkalian. Hal ini sudah tentu mengurangkan ketepatan dalam membuat sebarang ukuran dan akan memberi kesan kepada ramalan masa hadapan dan juga untuk mengetahui sejarah. Segala informasi yang kita bakal peroleh akan berbentuk kebarangkalian dan tidak tepat sama sekali.


Adalah sangat mengagumkan bahawa semua jisim yang mematuhi fizik klasik sebenarnya dibina dari partikel-partikel kecil yang mematuhi fizik moden. Sesuatu yang perkara yang nampak ditentukan mengandungi berbilion perkara yang hanya bergantung kepada kebarangkalian untuk wujud.


p/s: ni adalah gambar yang menunjukkan di manakah sebiji elektron mungkin wujud. dalam setiap ruang putih ada sebiji elektron tapi untuk tahu secara tepat memang tak akan meberikan sebarang maklumat yang berguna.

p/p/s/s: post ni lebih banyak membebel sebenarnya. jujur la agak sukar nak harmonikan bahasa melayu dengan sains.

Monday, 2 March 2015

Perihal Ramalan

Assalamualaikum.


Dalam beberapa surah di dalam Al-Quran ada disebutkan mengenai perhiasan langit, iaitu bintang-bintang. Seperti contoh, di dalam Surah As-Saffat ayat yang ke-6:


إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk Bumi) dengan hiasan bintang-bintang. (As-Saffat: 6)



Contoh ayat-ayat lain adalah Al-Mulk ayat ke-5 dan Al-Hijr ayat ke-16. Menariknya, pada ayat-ayat tersebut atau pada ayat-ayat yang berikutnya dikatakan bahawa langit dijaga daripada golongan syaitan. Tafsir Ibn Kathir memetik hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Jabir yang menceritakan perihal golongan ini yang sering mencuri dengar perbualan para Malaikat di langit, Pun begitu setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW, mereka tidak lagi dapat berbuat melainkan direjam oleh bintang-bintang.


Dalam hadis lain oleh Bukhari ada menyebutkan bahawa golongan syaitan ini menceritakan apa yang mereka dengar di langit kepada ahli-ahli nujum dan tukang tilik. Ini adalah dalil yang menyebutkan bahawa peramal-peramal pada suatu masa dahulu bersekongkol dengan syaitan untuk memperolehi informasi mengenai perkara yang belum lagi berlaku.


Menurut teori relativiti khas Einstein, sesuatu yang bergerak akan mendapati masa bergerak lebih pantas berbanding sesuatu yang tidak bergerak. Ini memberikan satu ilusi bahawa objek yang bergerak dengan laju mampu untuk merentas masa. Secara matematik, kita boleh mengira sejauh mana kekenyalan masa bagi setiap objek yang bergerak, namun apabila sesuatu bergerak dalam kelajuan cahaya, persamaan tersebut hancur dan tidak dapat dijelaskan.


Perkara yang lain pula berlaku apabila sesuatu itu bergerak lebih laju dari kelajuan cahaya. Persamaan matematik tersebut menunjukkan bahawa objek tersebut akan terkeluar dari dimensi ruang-masa yang normal. Objek tersebut akan mempunyai masa dan jisim yang kompleks (khayalan? Mohon sesiapa bantu terjemahkan "imaginary numbers" atau "complex numbers").


Secara logik, sesuatu yang berada di luar dimensi ruang-masa sudah tentu tidak tertakluk pada batas-batas medan tersebut. Ini adalah selari dengan ayat-ayat serta hadis-hadis yang disebutkan bahawa para Malaikat tahu tentang apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Oleh kerana mereka diciptakan dari cahaya dan boleh bergerak dengan kelajuan sedemikian, maka mereka tidak tertakluk pada dimensi ruang masa.


Syaitan, walaupun berada di alam ghaib, tidak mampu mengeluarkan diri mereka dari aliran masa untuk mengetahui apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Maka dustalah segala bentuk ahli nujum dan tukang tilik dalam dunia ni. Sungguhlah, sehinggakan dalam sebuah hadis oleh Imam Muslim menyebut sesiapa yang bertanyakan sesuatu kepada tukang tilik maka ibadahnya tidak diterima selama 40 hari.


Wallahua'lam.
p/s: gambar yang menunjukkan kon cahaya. Apa sahaja yang terletak di luar kon cahaya tidak boleh berinteraksi dengan titik asal(hujung kon).

p/p/s/s: kalimah "kaukab" dalam ayat-ayat yang disebutkan membawa maksud sesuatu yang berada di langit. Ada terjemahan yang menggunakan "bintang" dan ada yang menggunakan "planet".

Tuesday, 3 February 2015

Daya yang 4 (ii)

Asslamualaikum.


Sebelum ni dah dibincangkan pasal graviti dan elektromagnetik. Seterusnya kita tengok pula lagi 2 daya yang tinggal.


Daya Nuklear Lemah
Jangan terpengaruh dengan perkataan lemah. Hakikatnya daya inilah yang menyebabkan bandar-bandar seperti Chernobyl dan Hiroshima melekat pada sejarah. Teori mengenai daya ini diketengahkan oleh Enrico Fermi pada tahun 1933. Oleh kerana belum hampir seratus tahun pun daya ini dikenalpasti, sejarah perkembangannya agak singkat dan tak begitu menarik.


Tidak seperti elektromagnetik dan graviti, daya ini hanya bertindak pada jarak yang teramatlah kecil, lebih kurang 10-18 meter. Ianya bertanggungjawab dalam proses pereputan nuklear. Seperti contoh, isotop uranium akan mereput menjadi elemen-elemen yang lebih ringan dan mengeluarkan tenaga. Pereputan ini berlaku akibat pertukaran identiti sesuatu partikel dalam atom. Penukaran identiti ini adalah disebabkan berlakunya perubahan pada isi kandungan partikel tersebut.


Contoh lain yang mudah adalah seperti isotop karbon-14. Isotop ini mempunyai 6 partikel proton dan 8 partikel neutron. Pereputan nuklear akan menyebabkan salah satu neutron tersebut bertukar kandungannya dan identitinya berubah menjadi proton. Hasilnya atom tersebut kini mempunyai 7 proton dan 7 neutron, atau dikenali sebagai nitrogen-14. Menarik bukan? Satu elemen dapat berubah menjadi elemen yang lain.


Konsep pereputan inilah yang digunakan dalam janakuasa-janakuasa nuklear seluruh dunia untuk menghasilkan tenaga. Tidak lupa juga ia telah digunakan beberapa kali sebagai senjata dalam peperangan. Pun begitu, keterujaan aku terhadap daya ini adalah kebolehan untuk mengubah sesuatu elemen kepada elemen yang lain. Sebagai contoh, mengambil batu dan manjadikannya emas melalui proses ini. Menarik kan? (walaupun tak mustahil, namun kemungkinannya sangat rendah)


Daya Nuklear Kuat
Agak aneh, namun tiada satu nama pun dalam sejarah yang dominan dalam bidang ini. Teori daya ini agak lewat dibangunkan iaitu pada 1970-an. Ahli fizik seluruh dunia agak bingung dengan struktur nukleus atom. Bagaimanakan proton yang mempunyai cas positif mampu untuk kekal melekat pada proton yang lain yang mempunyai cas yang sama? Seharusnya dua cas yang sama akan menolak, lebih-lebih lagi pada jarak yang sangat dekat.


Maka daya nuklear kuat diteorikan. Ini adalah daya yang terkuat antara keempat-empat daya yang asas. Ianya bertindak pada jarak yang lebih besar dari daya nuklear lemah, iaitu lebih kurang 10-15 meter (diameter sebiji(?) proton). Tak banyak yang boleh diceritakan mengenai daya ini. Namun. tanpa daya ini seluruh alam hanya akan dipenuhi gas-gas proton tanpa sebarang jisim yang pejal.


Bila kita lihat balik pada keempat-empat daya yang asas ini, tercetus dua soalan:
  1. Ada tak daya asas yang lain yang belum kita tahu?
  2. Kenapa perlu ada banyak asas? Asas patutnya satu je la.
Soalan pertama mudah dijawab. Mungkin ada. Tapi belum ditemui dan difahami seperti jisim hitam dan daya hitam. Soalan kedua pula merupakan satu soalan yang menghantui hampir pengamal-pengamal fizik seluruh dunia. Sehingga kini masih tiada lagi yang mampu untuk menjadikan keempat-empat daya ini sebagai sesuatu yang diperolehi dari sesuatu yang lebih asas lagi. Sehingga kini beberapa teori telah dikemukan untuk menjawab persoalan ini, namun ianya masih lagi menjadi satu misteri.



p/s: bercakap tentang nuklear, memang inilah terbayang dalam minda. Aku salahkan media(?)


Sunday, 25 January 2015

Daya Yang 4 (i)

Assalamualaikum.


Seharusnya aku nak buat satu transkrip mengenai evolusi menurut pendapat aku. Tapi topik tu agak berat dan Origin of Species yang tak berapa nak tebal tu pun aku belum habis rabakkkan lagi, makanya aku memadamkan dulu niat nak menerobos masuk dalam dunia biologi yang membosankan tu haha. Minat aku pada evolusi pun hanya sebab ia sangat berkait dengan falsafah dan agama(sebab tu fizik jauh lagi menarik sebab semuanya falsafah dan agama *jelir lidah*).


Oleh dek kerana tu, hari ni aku mengisi masa dengan menulis tentang daya. Penggunaan istilah 'daya' pun sebenarnya ada kisahnya. Oleh kerana sepanjang hidup aku segala ilmu fizik yang perolehi hampir 100% dalam bahasa Inggeris, maka aku agak kalut mencari satu terjemahan untuk istilah force yang amat berterusan penggunaannya dalam fizik. Melalui beberapa rujukan akhirnya aku akhirnya mengambil keputusan untuk guna istilah 'daya'. Bagi aku memang janggal. Tapi tak mengapalah.


Hampir keseluruhan pergerakan alam ni boleh dijelaskan dengan daya. Tangan yang bergerak, jerung yang berenang, kapal yang terbang, Bumi yang berputar, lubang hitam yang menyedut(?) dan bermacam-macam contoh lagi boleh disenaraikan. Memang adalah persetujuan jumhur bahawa daya merupakan sesuatu yang asas dalam fizik. Dan setiap kali sesuatu jenis daya dikenalpasti merupakan satu bentuk pengembangan yang amat signifikan dalam memahami alam ini.


Daya-daya yang asas dan telah dikenalpasti diklasifikasikan dalam 4 bentuk:


Daya graviti
Graviti merupakan salah satu daya yang terawal dikenalpasti dan diteorikan oleh manusia. Eksperimen yang dilakukan oleh Galileo pada akhir abad ke-16 sehinggalah awal abad ke-17 dengan menjatuhkan objek dari Menara Condong Pisa. Galileo berjaya megira dengan tepat pecutan medan graviti Bumi. Kemudian Newton pula memajukan teori ini dengan mengemukakan satu teori yang boleh digunapakai untuk semua objek dalam alam semesta.


Pun begitu masih ada sedikit kepincangan dalam teori Newton. Seperti biasa, pakcik yang amat sinonim dengan fizik, Albert Einstein berjaya formulasikan satu teori yang mengatakan bahawa graviti sebenarnya adalah lengkungan dalam geometri ruang-masa, bukan sekadar daya semata-mata. Secara ringkas inilah yang dipanggil teori relativiti am.


Daya graviti bersifat tak terhingga. Dua objek akan sentiasa mengalami tarikan antara satu sama lain walaupun berjarak sejauh alam. Secara am, graviti adalah daya yang sangat lemah. Bayangkan seluruh Bumi menarik kita ke tanah, namun kita mampu untuk melawan tarikan tersebut dengan daya yang dihasilkan oleh otot badan yang kecil. Dan graviti hanya bertindak dalam satu arah, iaitu menarik.


Pun begitu, dalam kuantiti yang banyak, daya graviti menjadi sesuatu yang amat menakutkan. Bayangkan setelah berbillion tahun, Bumi masih lagi tidak dapat untuk melawan tarikan Matahari (kalau Bumi terkeluar dari orbit sebenarnya lagi menakutkan). Dan contoh yang paling dahsyat, lubang hitam. Tarikan graviti yang melampau sehinggakan cahaya matahari yang teramat laju tu pon tak mampu untuk melarikan diri. Meremang bulu roma.


Daya elektromagnetik
Hampir 100 tahun manusia mula untuk memahami graviti, kemudian terserempak pula dengan daya elektromagnetik. Pada mulanya, daya elektrik dan daya magnetik dianggap berbeza, namun pada abad ke-19, James Maxwell berteori bahawa keduanya adalah sebahagian dari satu daya yang sama. Dan nama Einstein wujud juga dalam sejarah elektromagnet. Bahkan hadiah Nobel Prize beliau berkait dengan elektromagnet.


Hampir seluruh kehidupan manusia bergantung pada daya ini. Mungkin ramai dapat meneka dengan tepat daya ini digunakan dalam peralatan elektrik dan elektronik. Benar. Namun, tanpa kita sedar, semudah-mudah pergerakan badan kita adalah hasil daya elektromagnetik. Kita dapat berdiri tanpa jatuh tembus ke tanah adalah kerana daya elektromagnetik. Warna langit yang biru, lampu yang menyala, bayi yang merangkak semuanya mempunyai daya elektromagnetik. Sungguh.


Seperti graviti, elektromagnetik juga bersifat tak terhingga. Dan ianya jauh lebih kuat dari graviti. Ia bertindak pada dua arah, menarik dan menolak. Daya positif akan tertarik pada negatif dan akan menolak pada positif. Begitulah sebaliknya. Seperkara yang menarik, cahaya juga merupakan salah satu bentuk elektromagnet. Juga radio. Juga gelombang mikro. Juga ultraungu. Laser, Apa sahaja yang dalam fikiran korang, ada kemungkinan itu adalah elektromagnet, Kewujudannya memang di mana-mana.


Mungkin cukup dulu untuk kali ini. Lagi dua jenis daya, aku sambung lain kali. Chow.

p/s: satelit banyak bergantung pada daya elektromagnetik dan graviti.

Thursday, 22 January 2015

Paksi yang Condong

Assalamualaikum.


لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ
(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. {Yasiin: 40}


Dalam beberapa terjemahan dalam Bahasa Inggeris, ramai penterjemah seperti Pickthall, Yusuf Ali dan lain-lain memilih untuk menterjemah perkataan falak dengan maksud orbit. Aku bukanlah orang yang paling lancar dalam Bahasa Arab ni, tapi dengan sedikit rujukan aku dapati maksud asal perkataan ni secara tepat adalah ‘membulat’. Apa-apa yang disebut falak adalah sesuatu yang mempunyai kecenderungan untuk bulat. Dan ianya sangat bertepatan dengan perkataan yang kita kenali hari ini dengan istilah ‘orbit’.

Dalam ayat Surah Yasiin kat atas more or less menjelaskan bahawa Bulan dan Matahari mempunyai orbit masing-masing yang mana ramai tahu dan percaya Bulan mengorbit Bumi dan Matahari pual mengrbit menurut putaran Galaksi Bima Sakti. Nampaknya orang Islam dah sedar perkara ni lama sebelum Copernicus menyalak menentang konsep Bumi-di-tengah-alam yang disokong secara buta oleh kuasa gereja Eropah abad ke-15 dan 16.

Pun begitu, aku sebenarnya lebih berminat nak menceritakan mengenai paksi berbanding orbit. Dan yang lebih lari dari topik dalam ayat kat atas, paksi Bumi, bukan Bulan atau Matahari. Kenapa menarik sangat paksi Bumi ni?

Paksi adalah pusat dimana sesuatu objek itu berputar. Dan Bumi berputar pada paksinya yang sebenarnya condong sebanyak 23.4 darjah. Bukan tegak. Kecondongan inilah yang menyebabkan terjadinya fenomena 4 musim pada bahagian utara dan selatan bumi. Nampak condong tak berapa banyak, tapi disebabkan yang tak berapa banyak ni lah wujudnya tempat yang bersuhu -50 ºC dan wujud juga tempat yang bersuhu 50 ºC di atas muka Bumi ni. Dahsyat.


Disebabkan kecondongan ni jugak, kawasan kutub Bumi mengalami keadaan siang dan malam yang sangat panjang. Dalam masa setahun, Matahari hanya terbit dan terbenam sebanyak satu kali. Hiduplah anda dalam kecerahan selama 6 bulan dan diikuti kegelapan selama 6 bulan. Pun begitu, tak ada pun orang yang hidup di kawasan kutub ni. Tapi, kawasan yang berdekatan dengan kutub, seperti Norway, Iceland, Greenland, Sweden, Russia dan beberapa negara lagi boleh mengalami fenomena midnight sun, yang mana matahari tak terbenam sepenuhnya, dan boleh mencecah sehingga 4-5 bulan.

Kecondongan ni sebenarnya menyebabkan Bumi sangat tak stabil. Maha Kuasa Allah menciptakan bulan pada jisim yang benar-benar tepat untuk menstabilkan putaran Bumi. Tanpa Bulan, putaran Bumi akan jadi macam gasing yang hampir jatuh. Ke kiri, ke kanan, ke kiri, ke kanan, dan terkadang mungkin paksi Bumi akan jadi mendatar seperti Uranus. Sesiapa yang singgah ke Uranus, satu hari adalah bersamaan satu tahun di Uranus (dalam 85 tahun Bumi). Dan tak ada sesiapa yang nak Bumi wobbling macam gasing. Pergerakan angin yang tak menentu, cuaca berubah-ubah, pasang surut yang menggila, dan macam-macam lagi yang tak tergambar oleh manusia akan berlaku tanpa Bulan.

Oh dan jangan lupa, kalau di utara sedang musim sejuk. Di selatan pula musim panas. Dan di Malaysia kekal hangat dan lembab sepanjang tahun. Syukur.


p/s: baru bercerita tentang kecondongan, belum bercerita tentang putaran. Memang benarlah, nikmat Allah tak terkira. {14:34}.



p/s/s: kali terakhir aku menulis, dua tahun lalu. Tak ada yang rindu tak mengapa.

Saturday, 24 August 2013

All You Zombies oleh Robert A. Heinlein

Assalamualaikum.


Setelah berfikir-fikir, aku berpendapat untuk buat satu extension baru untuk blog aku ni, iaitu karya-karya yang berkaitan dengan sains terutamanya fizik. Aku akan kongsikan cerita-cerita klasik karya penulis-penulis seperti Jules Verne, Isaac Asimov, Arthur C. Clarke dan ramai lagi yang memang terkenal dalam bidang penulisan sains fiksyen ni. Selain tu aku akan kongsikan jugak puisi-puisi, ukiran, atau pun lukisan yang berinspirasikan fizik hasil tangan-tangan seperti Leonardo Da Vinci, Pablo Picasso dan siapa-siapa lagi la.


Jadinya untuk memulakan segmen ni, aku akan terjemah dan sinopsiskan salah satu cerita fiksyen kegemaran aku, iaitu cerita All You Zombies yang ditulis oleh Robert A. Heinlein. Kisahnya bermula begini...


Pada tahun 1970, seorang bartender sedang membersihkan barnya apabila seorang lelaki masuk datang dan mula menceritakan kisah dirinya. Lelaki tersebut sebenarnya dilahirkan sebagai seorang perempuan pada tahun 1945. Dia ditinggalkan di rumah anak yatim dan diberi nama Jane. Jane hidup di rumah tersebut dan membesar menjadi seorang perempuan yang agak hodoh.


Sehinggalah pada tahun 1963, beliau jatuh cinta dengan seorang lelaki. Hasil perhubungan mereka Jane mengandung dan melahirkan seorang anak. Namun nasibnya malang apabila lelaki tersebut menghilangkan diri. Lebih malang lagi bayinya diculik dari hospital oleh seorang lelaki yang tidak diketahui. Dan paling dahsyat, doktor mengatakan bahawa Jane mempunyai dua set organ dalam badannya, satu set organ lelaki dan satu set organ perempuan. Untuk menyelamatkan nyawanya semasa bersalin, doktor terpaksa menukar jantinanya kepada seorang lelaki.


Mendengarkan kisah sedih ini, bartender tersebut mendedahkan bahawa dia sebenarnya seorang polis masa yang boleh merentas masa demi menjaga keamanan dunia. Dia menawarkan kepada Jane untuk membawanya kembali pada tahun 1963 untuk membalas dendam terhadap lelaki yang mengandungkannya dahulu dengan syarat Jane menyertai pasukan polis masa tersebut.


Jane kembali pada tahun 1963 dan mencari lelaki tersebut namun pencariannya tidak membuahkan sebarang hasil. Sebaliknya dia berjumpa dan jatuh cinta terhadap seorang perempuan yatim. Setelah perempuan tersebut mengandung, bartender kembali dan membawa Jane agar mengotakan janjinya untuk bertugas sebagai polis masa.


Meninggalkan Jane di ibu pejabat polis masa pada tahun 1985, bartender merentas ke tahun 1945 dan menculik seorang bayi dan kemudian meninggalkannya di sebuah rumah anak yatim. Sementara itu, pada tahun 1985, Jane berjaya menjadi seorang polis masa yang berkaliber dan akhirnya bersara setelah beberapa tahun. Kemudiannya dia merentas ke tahun 1970 untuk menyamar menjadi seorang bartender untuk berjumpa dengan seorang lelaki. Dan lelaki itulah dirinya.


Cerita ni tamat sampai situ. Dan bagi mereka yang dah faham, kat sini berlakunya paradoks masa yang sangat cacat. Bartender, Jane dan lelaki tersebut sebenarnya adalah orang yang sama. Ibu, bapa, anak, suami dan isteri Jane sebenarnya adalah dirinya sendiri. Heinlein mengambil isu paradoks ini untuk mempersoalkan mengenai logik merentas masa. Adakah ianya akan mengakibatkan perkara seperti ini berlaku? Wallahua'alam.


p/s: aku ada jugak tulis sikit pasal merentas masa dalam post yang ni.

Tuesday, 20 August 2013

Teleportasi dan Singgahsana

Assalamualaikum.


Alhamdulillah aku masih diberi nikmat menulis. Moga-moga aku dapat menyelesaikan hingga ke akhir post. Jadi jom! Topik kali ini!


قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah dia: Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah. {An-Naml: 40}



Ramai yang mungkin tahu kisah yang disebutkan kat dalam ayat ni. Kisah Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Cerita jiwang Islami, sah-sah ramai yang tahu. Haha. Tak mengapa. Kalau nak baca lebih detail bukalah Al-Quran terjemahan surah An-Naml ayat 15 hingga 44. Ini cerita jiwang kalau dibaca dapat pahala Insya-Allah.


Eh, tapi aku bukan nak cerita pasal tu, aku nak fokus kat ayat atas ni. Dalam ayat sebelum tu disebutkan yang seekor jin yang bernama Ifrit telah menawarkan untuk membawa singgahsana Ratu Balqis ke istana Nabi Sulaiman sebelum baginda bangun dari duduk. Kemudian seorang yang berilmu pula menawarkan untuk membawa singgahsana tersebut dalam sekelip mata. Dan POOF! sampailah singgahsana tersebut.


Situasi memindahkan objek dengan sekelip mata ni memang ada dalam fizik, dan ia dipanggil teleportasi. Zaman sekarang konsep ni memang agak famous jugak la. Dalam filem Star Trek, sihir Apparation dalam Harry Potter (aku tahu la tu sihir bukan sains tapi aku nak sebut jugak) dan macam-macam lagi la. Dari titik A ke titik B POOF! sekelip mata. Kalau wujud kat dunia ni dah lama MAS dan AirAsia bankrap. Jadi benda ni logik ke tak?


Menurut hukum Newton, memang tak logik. Dan sains selama 250 tahun menganggap benda ni memang tak boleh nak buat. Sehinggalah tahun 1925, tahun kelahiran rasmi fizik kuantum. Sepertimana yang pernah aku cerita sebelum ni dalam post yang ni, elektron mempunyai sifat sebagai partikel, tapi ia juga mempunyai sifat gelombang. Gelombang ni sebenarnya adalah kemungkinan untuk elektron tersebut wujud. Dan kemungkinan ini wujud pada seluruh alam. Contoh untuk mudah faham, katakan elektron A berada di titik x, sebenarnya ia tak wujud pun pada titik tersebut, cuma di situlah kemungkinan paling besar untuk elektron A wujud. Ada je kemungkinan yang elektron A wujud di titik B, yang terletak sejuta tahun cahaya jauhnya. Tapi kemungkinan tu sangat sedikit.


Apa kesan fenomena ni? Elektron A boleh wujud pada titik A, kemudian berpindah pada titik B dalam sekelip mata. Ok bukan sekelip mata tapi lagi laju. Instant. Tanpa jeda. Walaupun kemungkinan ia berlaku kurang dari sekali sepanjang umur alam ini, tapi ia tetap boleh berlaku.


Menurut fizik Newton dan Einstein, tiada satu pun objek atau maklumat yang boleh bergerak lebih laju dari cahaya. Namun dengan konsep gelombang elektron ini, perkara ini telah berjaya dipatahkan. Pada tahun 1993 saintis di syarikat IBM berjaya membuktikan dengan menghubungkan gelombang antara 2 elektron, maklumat berjaya dihantar tanpa jeda. Contoh, gelombang elektron A dihubungkan dengan elektron B. Apa-apa perkara yang diubah pada A akan secara automatik berubah pada B instantly. Serentak. Katakanlah elektron C dihubungkan dengan elektron B, maklumat dari C akan terus sampai kepada A. Serta merta A akan menjadi C. Kemudian C dihancurkan. Faham tak? C telah dipindahkan dari tempat asalnya kepada tempat A dengan menghantar maklumat dan menjadikan A itu C.





Sejak itu saintis-saintis telah berjaya menghantar atom-atom, bahkan DNA dan virus menggunakan konsep ini dan rekod dicipta pada tahun 2004 apabila saintis berjaya melakukan teleportasi terhadap gas cesium yang mengandungi bertrillion atom.


Namun begitu, pada tahun 2007, saintis-saintis dari Australian Research Council Centre of Excellence berjaya melakukan teleportasi tanpa menggunkan konsep hubung-menghubung. Mereka mengumpulkan atom-atom rubidium yang sangat sejuk (lebih sikit je dari absolute zero, -273°C) dimana jisim pada suhu ini akan mengeluarkan tenaga yang berbentuk maklumat dan ianya boleh dipindahkan menggunakan kabel optik fiber tanpa perlu menghubungkan elektron. Maklumat ini akan membentuk jisim asal tersebut di tempat yang lain.


Kedua-dua konsep ini memang agak rumit dan memang langsung tidak boleh digunakan untuk teleportasi manusia. Jadi teknologi ni mungkin akan wujud lagi dalam masa 100 atau 200 tahun akan datang tapi kita memang takkan merasa la. Tapi orang berilmu zaman Nabi Sulaiman tu memang gempak la sebab dah boleh pindah barang macam tu je. Haih. Wallahua'lam.


p/s: gambar ni memang betul, dari segi teknikalnya, kita telah mengklon dan membunuh orang diamana kedua-duanya dilarang agama.

Thursday, 14 March 2013

Maratib Amal dan Skala Kardashev

Assalamualaikum.


Disebabkan sekarang ni dah terasa panas bahang pilihanraya kat negara kita ni, dan memang perbincangan politik berleluasa di sana sini, terdetik dalam hati  aku untuk buat satu post berkaitan politik. Mesti korang tertanya-tanya, apa kaitan politik dengan fizik? Aku pun tak pasti nak jawab soalan tu, tapi sepanjang post ni, mungkin kaitan tu akan terwujud secara sendirinya.


Pada tahun 1964, seorang ahli astronomi Soviet yang bernama Nikolai Kardashev telah mencipta satu skala untuk mengukur kemajuan peradaban sesuatu tamadun berdasarkan jumlah penggunaan tenaga mereka. Pada asalnya skala tersebut mempunyai 3 kategori:
  • Type I: Tamadun yang terletak dalam kategori ini mampu untuk menggunakan sepenuhnya segala jenis sumber yang wujud di dalam sistem bintang mereka. Tamadun ini kebiasaannya berada di bawah satu pemerintahan sahaja.
  • Type II: Tamadun kategori ini mampu menggunakan sumber-sumber yang wujud di dalam kumpulan bintang yang mereka diami. Bagi tamadun sebegini, setiap sistem bintang diperintah oleh kerajaan masing-masing.
  • Type III: Mereka yang berada dalam kategori ini mampu untuk menggunakan segala sumber yang wujud dalam satu galaksi. Sistem pemerintahan tamadun ini dianggarkan bersifat kolektif dan menggunakan satu jenis perlembagaan untuk menyatukan beberapa kerajaan.
Skala ini telah dikembangkan lagi dan perbincangannya amat panjang dan agak bosan. Namun aku ingin menambah satu kategori lagi dari pengembangan tersebut memandangkan tamadun manusia zaman kini tidak termasuk dalam mana-mana kategori di atas.
  • Type 0: Tamadun ini mengekstrak sumber dari bahan-bahan organik mentah seperti petroleum. Mudahnya inilah tahap tamadun manusia zaman kini.

Cukup dulu dengan skala Kardashev. Sekarang aku nak cerita serba sedikit pula pasal maratib(ketertiban) amal yang diketengahkan oleh Imam Hassan Al-Banna. Maratib amal ni untuk mudah difahami adalah satu skala yang menjelaskan peringkat-peringkat gerak kerja bagi mencapai matlamat Islam sebagai tonggak dunia. Maratib amal ni ada tujuh peringkat:
  • Individu: Seseorang Muslim itu berusaha untuk memperbaiki dirinya agar mencapai sifat-sifat seorang Muslim yang sempurna.
  • Keluarga: Mendidik agar keluarga membesar dalam keadaan memahami dan mengamalkan prinsip Islam.
  • Masyarakat: Membimbing masyarakat agar meninggalkan amalan yang buruk serta membudayakan amalan yang baik serta menyokong gagasan yang dibawa Islam.
  • Kerajaan: Membebaskan tanah air dari kuasa asing yang bukan Islam dari segi politik, ekonomi atau moral.
  • Negara: Memulihkan kerajaan agar benar-benar bercirikan Islam dan melaksanakan segala hukum dan ajaran Islam.
  • Khilafah: Membebaskan tanah-tanah lain agar dibentuk satu khilafah yang memerintah seluruh tanah milik Islam dan melahirkan semula perpaduan umat Islam.
  • Ustaziatul Alam: Peringkat terakhir, di mana seluruh dunia berada di bawah pemerintahan Islam dan menjadi tonggak bagi seluruh umat manusia.

Berdasarkan kedua-dua skala ini, aku amat tertarik pada Type I dan Ustaziatul Alam. Terdapat satu persamaan yang jelas antara keduanya dari segi pemerintahan. Keduanya mengetengahkan pemerintahan singular bagi seluruh umat manusia. Dan kalau dilihat penghuraian dan perbincangan dari kedua-dua skala untuk mencapai pemerintahan singular tu, memang banyak persamaan. Cumanya yang skala Kardashev tu memang tak sentuh pasal Islam langsung la.


Jadinya, dalam membentuk tamadun Type I yang menjadikan Islam sebagai Ustaziatul Alam, politik memainkan peranan yang sangat besar. Oleh itu aku menyeru kepada para pemuda yang secara tak sengaja terbaca post ni, mari sama-sama kita menjadikan diri kita bermanfaat dalam memajukan politik negara kita. Dan bila aku cakap macam ni aku bukan maksudkan kita pergi bertanding ke, berkempen ke, berdemonstrasi ke, baling telur ke tapi cuba untuk menggunakan minda rasional dalam memahami situasi politik kini dan bertindak ke arah yang menguntungkan kita sebagai orang Islam.

Wallahua'lam.


kiraan jumlah sumber yang digunakan oleh skala Kardashev

Monday, 11 February 2013

Logik dan Aqidah

Assalamualaikum.


Antara sebab kenapa aku mulakan blog ni adalah untuk membantu para-para penghuni tarbiyyah yang sering menyerabutkan kepala mereka dengan persoalan-persoalan seperti:

"Apa pendapat Islam pasal makhluk asing?"

"Malaikat tu dicipta dari cahaya, jadi diorang boleh merentas masa la kan?"

"Macam mana dikatakan bintang merejam syaitan, komet ke?"

"Alam ghaib tu macam mana?"

"Apa yang wujud sebelum penciptaan alam?"


Dan bermacam-macam lagi persoalan yang sering diajukan dari segi sains mengenai Islam. Ataupun persoalan Islam dari segi sains. Mana-manalah. Disebabkan kurangnya para dai'e yang mengambil berat mengenai persoalan-persoalan ini, maka aku pun cuba untuk membantu dari sudut ini bagi menenangkan hati-hati meraka yang berjiwa curious ni.


Namun sepanjang ekspidisi aku ni, apa yang aku temui ialah banyak perkara yang masih tidak boleh dijelaskan secara sains. Namun, masih juga timbul persoalan-persoalan yang meminta penjelasan mengenai perkara tersebut. Jadi aku mengambil keputusan untuk menjawab semuanya secara am.


Sains itu adalah makhluk, dimana penciptanya adalah Allah. Logik juga adalah makhluk. Allah mencipta logik dengan 2+2=4. Pun begitu bila-bila masa Allah boleh menjadikan logik itu 2+2=5. Apa yang kita faham tentang logik itu hanya satu penciptaan di dunia, bukan sesuatu yang hakiki. Sebagai contoh syurga dan neraka tak terikat dengan logik dunia. Allah tak perlu untuk meletakkan sains sebagai pengikat kepada segala kejadian di dunia. Bila mana Allah berfirman 'kun' maka 'yakun'. Tak perlu mengikut logik dan sains. Perlu jelas aqidah kita kat sini.


Jadi bila mana ada sesuatu fenomena berkaitan aqidah yang tak boleh dijelaskan secara taakulan dan eksperimen, bukan bererti kita mesti mencari bagaimana proses kejadian tersebut, tapi kita hanya perlu wajib beriman tanpa ragu-ragu. Sebagai contoh Israk dan Mikraj, memang benar ada beberapa konsep sains yang boleh membantu pemahaman, tetapi kepercayaan terhadap perkara ini patut lebih diutamakan berbanding penjelasannya. Kan bagus kalau kita macam Abu Bakar r.a., bila orang kafir Quraisy datang dan cakap, "Hei Abu Bakar, Muhammad mendakwa dia pergi ke Palestin dan naik ke langit kemudian turun semula dalam satu malam, kau percaya?!" Dengan penuh keyakinan Abu Bakar jawab, "Aku beriman dengan Muhammad dan apa yang dikatakannya."


Proses mengenal Allah itu bukanlah melalui sains dan penaakulan, tetapi dengan mengenali sifat-sifatNya Yang Maha Agung yang diberitakan melalui wahyu melalui Nabi Muhammad SAW yang kita cintai. Hatta Nabi Ibrahim pun cuba untuk mencari Allah melalui taakulan tapi tak berjaya sehinggalah diberikan wahyu(Al-An'aam:76-78). Apabila kita cuba memperjelaskan tauhid menggunakan logik, secara tak langsung kita meletakkan logik pada nombor satu, dan tauhid pada nombor dua. Kita meletakkan makhluk sebagai penentu aqidah kita. Na'uzubillah.


Jangan silap faham, bukan bermakna sains ditinggalkan langsung, bahkan dengan sains dapat menunjukkan lagi kebesaran Allah dan kekuasaanNya. Tapi ianya hanya sebagai tambahan, sekadar penghias, bukannya sebagai asas yang menyokong aqidah kita sebagai umat Islam. Boleh faham?


Kesimpulannya, tidak mengapa sekiranya bertanya atau ingin tahu mengenai logik dalam aqidah, tapi janganlah jadikan ianya sebagai persoalan yang utama dalam usaha kita mengenal Allah SWT dan menuju ke arah mendapatkan keredhaanNya. Sampai sini dulu. Moga bermanfaat.



Allah tidak perlu untuk mengecilkan bumi atau membesarkan lubang jarum untuk memasukkan bumi ke dalam lubang jarum.
p/s: walaupun agak kontra isi post kali ni dengan apa yang aku buat selama ni, aku ada sebab yang tersendiri. Dan gambar ni, hmmm aku pun tak tau nak caption apa.

Saturday, 19 January 2013

Masa dan Taubat

Assalamualaikum.


Hari tu ada seorang mamat ni cakap kat aku, Buraq tu macam mesin masa sebab boleh gerak laju macam cahaya. Dalam hadis sahih Bukhari(Bab 58 No.227) pasal Israk Mikraj ada disebut kelajuan Buraq iaitu selangkah bersamaan sejauh mata memandang. Disebabkan penglihatan mata bergantung kepada cahaya, jadi ada logiknya statement kat atas tu. Siapa yang tak tahu lagi kenapa cahaya boleh menyebabkan masa berubah boleh baca post ni.


Apa yang aku nak fokus hari ni adalah pasal konsep merentas masa. Sepertimana isu mendarat kat bulan, ramai yang cakap teori merentas masa ni cuma satu konspirasi semata-mata untuk melalaikan umat Islam. Aku pun kurang faham macam mana merentas masa ni boleh melalaikan, jadi aku pun buatlah sedikit kajian pasal ni. Basically apa yang aku jumpa adalah seperti berikut.

  • Hadis riwayat Bukhari dan Baihaqi mengenai 5 perkara sebelum 5 perkara.
  • Surah Al-Asr.
Kedua-dua dalil ni menunjukkan kepada satu perkara, iaitu taubat. Kalau wujudnya kebolehan untuk merentas masa, dah tentulah mudah untuk manusia untuk memperbetulkan kesilapan dan dosa mereka pada masa lalu dan tak perlu bertaubat atau berlumba-lumba untuk beramal.


Jadi aku tak niat pun nak cakap siapa betul siapa salah. Cumanya aku nak bawa korang memahami bagaimanakah konsep merentas masa yang diteorikan selama ini. Lepas tu korang boleh decide sendiri apa yang korang nak percaya.


Secara amnya, ada 4 teori yang menerangkan apa yang berlaku kalau kita merentas ke masa lalu.

  • Konsep pertama ni adalah konsep yang paling mainstream. Bila kita pergi ke masa lalu, apa yang kita buat akan memberi kesan dan menukar sejarah. Maknanya kalau kita secara tak sengaja tergugurkan mak yang tengah mengandungkan kita, kita akan jadi tak wujud. Dengan kata lain, kita boleh menyebabkan diri kita tak melakukan dosa. Jadi kat sini memang menyalahi konsep taubat.
  • Yang kedua ni pulak adalah konsep yang diterima pakai kebanyakan saintis dan aku pun sendiri agak berkenan dengan yang ni. Bila kita ke masa lalu, kita akan masuk ke alam yang selari dengan alam kita(parallel universe) dimana kalau kita mengugurkan mak kita, kita masih wujud. Sebabnya mak yang melahirkan kita tu berada di alam yang lain, bukan pada alam yang kita masuk dengan merentas masa. Jadinya, semua perkara yang berlaku pada alam asal kita akan tetap berlaku walau macam mana pun kita ubah pada alam selari tu. Kat sini maknanya segala dosa kita akan kekal bersama kita. Konsep yang ni tak melanggar konsep taubat.
  • Teori ketiga mengatakan sepertimana ada hukum graviti, macam tu jugak ada hukum merentas ke masa lampau, iaitu kita akan dihalang dari mengubah apa-apa. Ada hukum fizik yang menghalang. Konsep ni pun tak melanggar konsep taubat.
  • Konsep terakhir ni lebih kurang yang ketiga. Bila kita merentas ke masa lalu, apa-apa yang kita buat sebenarnya memang dah berlaku. Contoh kita tertebang satu pokok pada masa lalu, sebenarnya pokok tu memang dah ditebang pun sebelum kita merentas masa. Ini pun tak melanggar konsep taubat.


Boleh faham? Kesimpulannya, hanya satu konsep merentas ke masa lalu yang bertentangan dengan konsep taubat. Walau bagaimana pun, masing-masing boleh buat taakulan sendiri. Ni hanya pandangan aku. Kalau rasa ada yang lebih bernas boleh kongsi sama-sama. Moga bermanfaat.




p/s: kali ni panjang sikit kot. Equation kat atas ni menerangkan bagaimana merentas ke masa hadapan adalah logik dan memang dah dibuktikan secara saintifik. Contohnya satelit GPS yang mengorbit bumi dengan kelajuan 18000km/h perlu melakukan pengubahsuaian dalam memproses data agar data tersebut tepat dan tidak tersasar.



t' mewakili nisbah regangan masa 

t mewakili masa yang dialami oleh sesuatu objek 
c mewakili kelajuan cahaya iaitu 299792458 meter persaat 
v mewakili kelajuan objek

Secara matematik, kalau v sama dengan atau lebih dari c, equation ni akan jadi hancur, tu sebab untuk bergerak sama atau lebih laju dari cahaya adalah mustahil.