Tuesday 3 February 2015

Daya yang 4 (ii)

Asslamualaikum.


Sebelum ni dah dibincangkan pasal graviti dan elektromagnetik. Seterusnya kita tengok pula lagi 2 daya yang tinggal.


Daya Nuklear Lemah
Jangan terpengaruh dengan perkataan lemah. Hakikatnya daya inilah yang menyebabkan bandar-bandar seperti Chernobyl dan Hiroshima melekat pada sejarah. Teori mengenai daya ini diketengahkan oleh Enrico Fermi pada tahun 1933. Oleh kerana belum hampir seratus tahun pun daya ini dikenalpasti, sejarah perkembangannya agak singkat dan tak begitu menarik.


Tidak seperti elektromagnetik dan graviti, daya ini hanya bertindak pada jarak yang teramatlah kecil, lebih kurang 10-18 meter. Ianya bertanggungjawab dalam proses pereputan nuklear. Seperti contoh, isotop uranium akan mereput menjadi elemen-elemen yang lebih ringan dan mengeluarkan tenaga. Pereputan ini berlaku akibat pertukaran identiti sesuatu partikel dalam atom. Penukaran identiti ini adalah disebabkan berlakunya perubahan pada isi kandungan partikel tersebut.


Contoh lain yang mudah adalah seperti isotop karbon-14. Isotop ini mempunyai 6 partikel proton dan 8 partikel neutron. Pereputan nuklear akan menyebabkan salah satu neutron tersebut bertukar kandungannya dan identitinya berubah menjadi proton. Hasilnya atom tersebut kini mempunyai 7 proton dan 7 neutron, atau dikenali sebagai nitrogen-14. Menarik bukan? Satu elemen dapat berubah menjadi elemen yang lain.


Konsep pereputan inilah yang digunakan dalam janakuasa-janakuasa nuklear seluruh dunia untuk menghasilkan tenaga. Tidak lupa juga ia telah digunakan beberapa kali sebagai senjata dalam peperangan. Pun begitu, keterujaan aku terhadap daya ini adalah kebolehan untuk mengubah sesuatu elemen kepada elemen yang lain. Sebagai contoh, mengambil batu dan manjadikannya emas melalui proses ini. Menarik kan? (walaupun tak mustahil, namun kemungkinannya sangat rendah)


Daya Nuklear Kuat
Agak aneh, namun tiada satu nama pun dalam sejarah yang dominan dalam bidang ini. Teori daya ini agak lewat dibangunkan iaitu pada 1970-an. Ahli fizik seluruh dunia agak bingung dengan struktur nukleus atom. Bagaimanakan proton yang mempunyai cas positif mampu untuk kekal melekat pada proton yang lain yang mempunyai cas yang sama? Seharusnya dua cas yang sama akan menolak, lebih-lebih lagi pada jarak yang sangat dekat.


Maka daya nuklear kuat diteorikan. Ini adalah daya yang terkuat antara keempat-empat daya yang asas. Ianya bertindak pada jarak yang lebih besar dari daya nuklear lemah, iaitu lebih kurang 10-15 meter (diameter sebiji(?) proton). Tak banyak yang boleh diceritakan mengenai daya ini. Namun. tanpa daya ini seluruh alam hanya akan dipenuhi gas-gas proton tanpa sebarang jisim yang pejal.


Bila kita lihat balik pada keempat-empat daya yang asas ini, tercetus dua soalan:
  1. Ada tak daya asas yang lain yang belum kita tahu?
  2. Kenapa perlu ada banyak asas? Asas patutnya satu je la.
Soalan pertama mudah dijawab. Mungkin ada. Tapi belum ditemui dan difahami seperti jisim hitam dan daya hitam. Soalan kedua pula merupakan satu soalan yang menghantui hampir pengamal-pengamal fizik seluruh dunia. Sehingga kini masih tiada lagi yang mampu untuk menjadikan keempat-empat daya ini sebagai sesuatu yang diperolehi dari sesuatu yang lebih asas lagi. Sehingga kini beberapa teori telah dikemukan untuk menjawab persoalan ini, namun ianya masih lagi menjadi satu misteri.



p/s: bercakap tentang nuklear, memang inilah terbayang dalam minda. Aku salahkan media(?)


No comments:

Post a Comment