Assalamualaikum.
Dalam beberapa surah di dalam Al-Quran ada disebutkan mengenai perhiasan langit, iaitu bintang-bintang. Seperti contoh, di dalam Surah As-Saffat ayat yang ke-6:
إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk Bumi) dengan hiasan bintang-bintang. (As-Saffat: 6)
Contoh ayat-ayat lain adalah Al-Mulk ayat ke-5 dan Al-Hijr ayat ke-16. Menariknya, pada ayat-ayat tersebut atau pada ayat-ayat yang berikutnya dikatakan bahawa langit dijaga daripada golongan syaitan. Tafsir Ibn Kathir memetik hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Jabir yang menceritakan perihal golongan ini yang sering mencuri dengar perbualan para Malaikat di langit, Pun begitu setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW, mereka tidak lagi dapat berbuat melainkan direjam oleh bintang-bintang.
Dalam hadis lain oleh Bukhari ada menyebutkan bahawa golongan syaitan ini menceritakan apa yang mereka dengar di langit kepada ahli-ahli nujum dan tukang tilik. Ini adalah dalil yang menyebutkan bahawa peramal-peramal pada suatu masa dahulu bersekongkol dengan syaitan untuk memperolehi informasi mengenai perkara yang belum lagi berlaku.
Menurut teori relativiti khas Einstein, sesuatu yang bergerak akan mendapati masa bergerak lebih pantas berbanding sesuatu yang tidak bergerak. Ini memberikan satu ilusi bahawa objek yang bergerak dengan laju mampu untuk merentas masa. Secara matematik, kita boleh mengira sejauh mana kekenyalan masa bagi setiap objek yang bergerak, namun apabila sesuatu bergerak dalam kelajuan cahaya, persamaan tersebut hancur dan tidak dapat dijelaskan.
Perkara yang lain pula berlaku apabila sesuatu itu bergerak lebih laju dari kelajuan cahaya. Persamaan matematik tersebut menunjukkan bahawa objek tersebut akan terkeluar dari dimensi ruang-masa yang normal. Objek tersebut akan mempunyai masa dan jisim yang kompleks (khayalan? Mohon sesiapa bantu terjemahkan "imaginary numbers" atau "complex numbers").
Secara logik, sesuatu yang berada di luar dimensi ruang-masa sudah tentu tidak tertakluk pada batas-batas medan tersebut. Ini adalah selari dengan ayat-ayat serta hadis-hadis yang disebutkan bahawa para Malaikat tahu tentang apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Oleh kerana mereka diciptakan dari cahaya dan boleh bergerak dengan kelajuan sedemikian, maka mereka tidak tertakluk pada dimensi ruang masa.
Syaitan, walaupun berada di alam ghaib, tidak mampu mengeluarkan diri mereka dari aliran masa untuk mengetahui apa yang bakal berlaku di masa hadapan. Maka dustalah segala bentuk ahli nujum dan tukang tilik dalam dunia ni. Sungguhlah, sehinggakan dalam sebuah hadis oleh Imam Muslim menyebut sesiapa yang bertanyakan sesuatu kepada tukang tilik maka ibadahnya tidak diterima selama 40 hari.
Wallahua'lam.
p/s: gambar yang menunjukkan kon cahaya. Apa sahaja yang terletak di luar kon cahaya tidak boleh berinteraksi dengan titik asal(hujung kon).
p/p/s/s: kalimah "kaukab" dalam ayat-ayat yang disebutkan membawa maksud sesuatu yang berada di langit. Ada terjemahan yang menggunakan "bintang" dan ada yang menggunakan "planet".